Gading Kencana tawar bekas anggota 69 Komando kerja

Gading Kencana tawar bekas anggota 69 Komando kerja

Nasib bekas anggota 69 Komando, Konstabel Abri Bah Ali, 60, yang kisah kedaifannya mendapat perhatian pelbagai pihak semakin terjamin apabila dia ditawarkan pekerjaan, sekali gus mempunyai mata pencarian tetap untuk meneruskan kehidupan.

Wira negara yang pernah terlibat tiga pertempuran dengan pengganas komunis itu bakal diambil bekerja oleh syarikat pembekalan tenaga, Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana).

Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, Abri akan ditawarkan bekerja di tapak projek hidro mini yang dimajukan syarikat itu di satu kawasan di Bidor tidak lama lagi.

Katanya, bidang tugas yang hendak diberikan itu ditentukan kemudian agar bersesuaian dengan lelaki berkenaan namun apa yang penting agar Abri mempunyai sumber pendapatan tetap untuk menyara kehidupan bersama anaknya.

“Tapak projek hidro mini ini nanti terletak di kawasan hutan tidak jauh dari sebuah perkampungan Orang Asli. Jadi, persekitaran di situ juga sangat sesuai dengan Abri yang selama ini bekerja sendiri mencari hasil-hasil hutan.

“Kemahirannya di hutan sangat dikagumi apatah lagi dia adalah bekas anggota penjejak semasa di pasukan 69 Komando yang biasa dengan kawasan rimba,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui pada majlis peletakan batu asas pembinaan rumah Abri di perkampungan Orang Asli di Kampung Senta, di sini kelmarin.

Majlis peletakan batu asas yang menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan itu disempurnakan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Ghani Mohamad Ji bersama Komander 69 Komando, SAC Abdul Razak Mohd. Yusoff dan Muhamad Guntor.

Projek pembinaan yang dilakukan oleh anggota Batalion 3 PGA Senoi Praaq itu dibiayai sepenuhnya Gading Kencana dengan kos RM23,000.

Menurut Muhammad Guntor, Abri diambil bekerja selepas pembinaan rumah baharu itu siap dan dia berpindah masuk.

“Buat masa ini, Abri tinggal sementara di kuarters Kem PGA Bidor. Kita tunggulah dahulu setelah rumah baharu siap bagi memudahkan urusannya apabila diambil bekerja nanti,” katanya. – UO