‘Gabenor cantik’ dipenjara kerana skandal dengan 58 orang bawahan, rasuah

‘Gabenor cantik’ dipenjara kerana skandal dengan 58 orang bawahan, rasuah

 

Seorang pegawai wanita dari barat daya China yang digelar ‘gabenor cantik’ kerana penampilannya, baru-baru ini, dihukum penjara 13 tahun dan didenda satu juta yuan (RM630,000) atas salah laku.

Zhong Yang, 52, dituduh melakukan hubungan seksual dengan 58 lelaki yang juga orang bawahannya, dan menerima rasuah hampir 60 juta yuan (kira-kira RM37.2 juta), lapor South China Morning Post (SCMP).

Beliau pernah berkhidmat sebagai gabenor dan timbalan setiausaha Parti Komunis China (PKC) di wilayah Qiannan, wilayah Guizhou.

Zhong mula dikenali kerana memulakan persatuan buah-buahan dan pertanian yang bertujuan membantu petani serta membelanjakan wangnya sendiri bagi menyara warga tua yang memerlukan, kata SCMP.

Bagaimanapun pada Januari lalu, satu dokumentari yang diterbitkan oleh Radio dan Televisyen Guizhou membongkar kontroversi membabitkan Zhong.

Dikatakan Zhong menerima rasuah dan menggunakan kedudukannya untuk memastikan syarikat yang disukainya menerima kontrak lumayan, dengan alasan ia pelaburan kerajaan.

Ini termasuk meluluskan pembangunan tanah seluas 170,000 meter persegi di kawasan perindustrian berteknologi tinggi untuk seorang ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengannya.

Ahli perniagaan itu kemudiannya menukar tanah itu untuk pembangunan hartanah, yang mana Zhong memperoleh keuntungan besar, lapor saluran berita dalam talian CNR China.

Seorang pemilik perniagaan swasta dalam dokumentari itu berkata, Zhong akan mengabaikan syarikat tanpa hubungan peribadi dengannya, menyekat pertumbuhan perniagaan swasta di rantau ini.

Pada April 2023, Jawatankuasa Pemeriksaan dan Pengawasan Disiplin Wilayah Guizhou mengumumkan Zhong disyaki melakukan pelanggaran disiplin dan undang-undang yang serius, kata laporan CNR.

Memetik NetEase News, SCMP berkata, Zhong juga didakwa terbabit dalam urusan dengan 58 orang bawahan lelaki.

Ada yang memilih untuk menjadi kekasihnya kerana kelebihan yang ditawarkannya, sementara yang lain melakukannya dengan berat hati kerana takut akan kedudukan wanita terbabit.

Zhong ditangkap pada April 2023.