Fizi Ali, bekas isteri berbalah di Instagram

Fizi Ali, bekas isteri berbalah di Instagram

 

Fizi Ali, bekas isteri berbalah di Instagram

Kontroversi membabitkan isu anak di antara penyampai radio, Fizi Ali dan bekas isterinya yang juga pelakon, Shakilla Khoriri semakin memuncak apabila mereka saling berbalas kenyataan di media sosial.

Terbaru, Fizi memuat naik hantaran di Instagram yang dipercayai ditujukan kepada Shakilla, menafikan dakwaan wujud pihak lain cuba mengaku sebagai penjaga utama anak mereka, Ameena Sofia.

Tidak mahu terus menjadi sasaran kecaman penyokong bekas isterinya, Fizi tampil mempertahankan diri dan meminta Shakilla berhenti membuat kenyataan terbuka.

“Belah sana asyik cerita fasal hak, lebih baik cari hak di mahkamah. Kita ada undang-undang bukan ‘merentan’ di Instagram, kemudian muat naik jual produk.

“Jangan nampak sangat nak berniaga dengan teknik pemasaran kotor. Cukuplah, kalau tak puas hati, gaduh di mahkamah bukan media sosial. Kenapa perangai macam budak-budak?

“Sudah tentu selepas hantaran ini, belah sana (bekas isteri) bawa lari anak. Cuma nak ingatkan mahkamah jatuhkan Aidilfitri ini belah sini. Harap tak bawa lari la okay, saya ambil tindakan mahkamah je nanti ” tulisnya.

Menjawab isu kononnya ada individu mengaku sebagai penjaga utama Ameena apabila dikatakan dalam diam cuba mendaftar persekolahan anaknya tanpa pengetahuan, Fizi menjelaskan, tiada sebab isterinya mahu mendaftar sekolah untuk anak tirinya.

“Macam tak masuk akal langsung. Apa yang belah sana cakap semua korang percaya sebab apa? Sebab dia mak dan perempuan? Habis isteri saya bukan perempuan dan mak?

“Kalian asyik buli-buli begini sedangkan mak tiri layan baik anak tiri dengan elok,” katanya.

Semalam, Shakilla meluahkan rasa berang apabila seorang individu mengaku sebagai penjaga utama anak perempuannya itu.

Shakilla mendakwa perbuatan individu berkenaan terbongkar apabila dia dalam diam cuba mendaftar persekolahan Ameena tanpa pengetahuan dirinya.

Menurut Shakilla, usaha pihak berkenaan bagaimanapun tidak berhasil kerana kekurangan dokumen yang lengkap bagi urusan pendaftaran.

Shakilla berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram, semalam yang turut disertakan beberapa borang dan dokumen membuktikan kata-katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Shakilla memberitahu dia dan penjaga Ameena yang lain tidak pernah berbincang mengenai perkara itu melainkan urusan mengambil anaknya.

Bukan hanya itu, Shakilla juga dilarang menghubungi anaknya sekiranya tiba giliran pihak berkenaan untuk menjaga Ameena.