FDA beri amaran ubat titis mata jenama tertentu boleh sebabkan jangkitan mata dan hilang penglihatan

FDA beri amaran ubat titis mata jenama tertentu boleh sebabkan jangkitan mata dan hilang penglihatan

 

Pentadbir Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) semalam memberi amaran kepada pengguna untuk tidak membeli atau menggunakan ubat titis mata membabitkan beberapa jenama termasuk CVS Health Corp dan Cardinal Health kerana boleh menyebabkan jangkitan mata dan dalam beberapa kes, mungkin berisiko menyebabkan hilang penglihatan.

Pengawal selia kesihatan AS itu mengesyorkan supaya 26 produk ubat titis mata yang dijual di kaunter tidak digunakan terutama untuk merawat gejala mata kering dan kelegaan terhadap kerengsaan mata.

FDA dalam satu kenyataan memaklumkan, ubat titis mata terbabit dipasarkan oleh CVS Health, Rite Aid dan Cardinal Health bersama-sama jenama lain iaitu Target’s Up & Up dan Velocity Pharma.

Agensi berkenaan turut meminta pengilang menarik balik semua produk berkenaan selepas pihak penyiasat mendapati persekitaran di kemudahan pembuatan itu tidak bersih.

FDA berkata, penggunaan produk penjagaan mata tertentu daripada jenama terbabit boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan secara separa atau buta sepenuhnya.

Bagaimanapun, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang ‘laporan buruk’ mengenai jangkitan mata yang dikaitkan dengan produk berkenaan.

Menurut FDA, CVS, Rite Aid dan Target sedang mengalih keluar produk dari rak kedai dan laman web mereka.

Tambahnya, produk berjenama lain seperti Leader, Ragbi dan Velocity mungkin masih boleh dibeli di kedai dan secara dalam talian, namun pengguna dinasihatkan supaya tidak membelinya.

“Setelah dimaklumkan FDA, kami telah (CVS) menghentikan serta-merta penjualan produk itu di kedai dan secara dalam talian membabitkan semua produk yang dibekalkan oleh Velocity Pharma,” kata rangkaian kedai ubat itu dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada Reuters.

Tambahnya, bayaran balik secara penuh akan diberikan kepada pelanggan yang memulangkan produk.

Setakat ini, Cardinal Health dan Velocity Pharma masih belum memberikan reaksi berhubung isu berkenaan.