Fazley Yaakob akhirnya buka ‘rahsia’, dedah kejadian mistik ketika sanding dengan anak Rosmah

Fazley Yaakob akhirnya buka ‘rahsia’, dedah kejadian mistik ketika sanding dengan anak Rosmah

 

TAHUN ini genap 17 tahun usia perkahwinan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob bersama isterinya, Datin Azrene Ahmad.

Dedah Fazley, sepanjang melayari bahtera pernikahan bersama isterinya, mereka telah melalui pelbagai dugaan yang memedihkan dan turut melibatkan air mata.

“17 tahun dengan empat orang anak bukan perjalanan yang mudah. Kami melalui pelbagai liku-liku pedih, perit dan seksa dari awal perkahwinan sebelum mampu tiba ke 7 November 2023.

“Gambar-gambar ini saya kongsikan dari majlis persandingan kami yang penuh dengan air mata,” kongsi Fazley menerusi entri di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Fazley tanpa berselindung turut mendedahkan kejadian yang sangat mengejutkan apabila semua kereta milik tetamu yang hadir di hari bahagia mereka telah dirosakkan yang disyaki perbuatan khianat.

“Masih teringat semua kereta-kereta tetamu di toreh dengan pisau dan batu kerana menghadiri majlis kami.

“Pelbagai lagi perkara mistik yang turut kami tempuhi ketika itu. Syukur pada Allah semua yang cuba digagalkan, Allah tetap merahmati dan mengizinkan berlangsungnya majlis kami.

“Terima kasih adik sayang (panggilan untuk isteri) kerana menjadi sahabat baik saya, pasangan yang sentiasa memahami saya dan ibu kepada anak-anak kita. Selamat ulang tahun ke-17 dan selamat mendaki di Everest Camp. Saya dan anak-anak menunggu kepulangan awak,” katanya.

Untuk info, Fazley dan Azren telah mendirikan rumah tangga pada 7 November 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah,14, Ahmad Fieradz Shah,13, Ahmad Firudz Shah,11 dan Alayna Selma yang kini berusia 6 tahun.