Fayadh Zulkifli ‘punca’ Perak FC gagal kutip tiga mata di Stadium Perak?

Fayadh Zulkifli ‘punca’ Perak FC gagal kutip tiga mata di Stadium Perak?

Pemain gantian, Fayadh Zulkifli membantu menghidupkan permainan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk akhirnya mengikat Perak FC dengan keputusan seri 1-1.

Ia satu perlawanan yang sederhana dan adakalanya perlahan oleh Kedah di Stadium Perak berdepan musuh utara mereka yang menyaksikan pelawat bermain lebih ke bawah berbanding tampil untuk menekan Perak memburu jaringan pembukaan.

Perak yang memenuhkan kawasan tengah berjaya menyebabkan Rabih Ataya yang dalam prestasi kurang baik termanggu dan gagal membuat hantaran-hantaran baik ke depan. Ini mematikan terus permainan Kedah dan Perak mendominasi aksi.

Namun, kemasukkan pemain sayap, Fayadh Zulkifli dilihat kembali memberikan nyawa baharu buat skuad Hijau Kuning. Kepantasan dan kelincahannya membuat Perak pula terdiam untuk cuba mematahkan serangan yang dijana olehnya di babak kedua.

Walaupun tidak menjaringkan gol, Fayadh Zulkifli sekurang-kurangnya berjaya menjana asakan ke benteng tuan rumah yang dilihat tenang sepanjang babak pertama sehingga gol pertama berjaya dihasilkan oleh Guilherme de Paula pada minit ke-58.

Pelawat dilihat tersentak dengan jaringan tersebut dan mula meningkatkan tempo permainan dan ia berhasil. Aidil Sharin menggunakan sepenuhnya Fayadh Zulkifli bagi memecah masuk ke kawasan defensif third lawan yang tidak tergugat sebelum itu.

“Itu ‘kad’ saya. Saya tidak akan kongsikan rahsia saya,” jawab Aidil Sharin mengenai Fayadh Zulkifli dalam nada berseloroh di sidang media sejurus perlawanan berakhir.

“Apa yang saya boleh katakan, apabila keadaan tidak memihak kepada kita, kita perlu lakukan sesuatu. Kita ada pemain yang mampu mengubah perlawanan apabila dimasukkan. Seperti yang saya selalu katakan, saya sentiasa percayakan pemain saya.

 

“Apabila anda percaya dengan kemampuan mereka, mereka akan beri kita 100 peratus. Jadi, pemain gantian telah melakukan tugas yang baik. Yang lebih baik adalah kita cuba menambah lagi jaringan,” jelas pengendali berusia 43 tahun itu lagi.

Banyak gerakan yang dimulakan Fayadh Zulkifli membantu Kedah bermain seperti biasa semula dan akhirnya penyerang berbisa, Kpah Sherman berjaya menjaringkan gol penyamaan di minit ke-79 untuk pelawat kembali ke dalam permainan.

Kedah juga hadir dengan dua percubaan berbahaya menerusi Baddrol Bakhtiar dan Kipre Tchetche yang telah menewaskan Hafizul Hakim, namun gagal mengegar jaring.

Hasil perlawanan malam tadi menyaksikan Kedah gagal memintas Terengganu FC yang berada di kedudukan ke-2 Liga Super 2021 dengan 17 mata dan kedudukan mereka itu bakal dicabar seteru utara mereka juga, Penang FC pada malam nanti. – Semuanya bola