Fatin turut ‘pergi’ bersama ibu

Fatin turut ‘pergi’ bersama ibu

 

Kanak-kanak perempuan yang cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Kayan, di sini, semalam, meninggal dunia, hari ini.

Fatin Nurjannah Mohd Ridzuan, 4, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seri Manjung (HSM) ketika mendapatkan rawatan.

Kemalangan itu mengorbankan ibunya, Nurdiana Abd Rahman, 36, yang maut di lokasi, manakala adik perempuannya berusia dua tahun cedera ringan.

Nur Syaerah Abd Rahman, 29, adik kepada Nurdiana ketika ditemui berkata, mereka dimaklumkan anak sulung kakaknya itu meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi hari ini.

Menurutnya, jenazah dua beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir selepas solat Jumaat.

Semalam media melaporkan, wanita maut manakala tujuh cedera apabila kereta Proton Persona dan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux bertembung.

Tiga beranak berkenaan menaiki Proton Persona, manakala Toyota Hilux dinaiki empat mangsa yang turut cedera dalam kejadian itu.