Faiz Subri sah milik Kuala Kangsar FC

Faiz Subri sah milik Kuala Kangsar FC

Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri akhirnya sah menjadi milik pasukan Kuala Kangsar FC atau KKFC yang akan bersaing dalam Liga M3 musim 2021 bermula Jun depan.

Mohd Faiz berkata, dia memilih KKFC kerana masih ingin bermain bolasepak walaupun pernah menerima tawaran untuk menjadi jurulatih teknikal sukan teq­ball di Hungary.

Menurutnya, tawaran daripada Hungary sebenarnya belum muktamad.

“Jadi dalam masa sama tu saya dapat tawaran daripada KKFC. Jadi saya rasa saya masih nak bermain lagi dan memilih KKFC.

“Sebagai pemain bolasepak, tekanan memang ada, jadi orang cakap ini mungkin cabaran baru di tempat baru. Insya-Allah saya akan buat terbaik di KKFC dan juga pihak pengurusan,” katanya.

Dia ditemui di majlis menandatangani kontrak bersama pasukan KKFC di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar pada Jumaat malam.

Hadir sama Pengurus Besar KKFC Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Pengurus KKFC, Datuk Shaharol Asafali dan penaja utama Datuk Adi Putra yang mewakili Yayasan Hadi.

Shaharol berkata, kehadiran pemain berusia 34 tahun itu diharap dapat menyuntik semangat pemain lain di dalam dan luar padang.

“Sudah tentunya sebagai pemimpin di dalam dan juga di luar padang sudah tentunya satu tanggungjawab yang kita beri kepada Mohd Faiz kerana pengalaman dia bukan hanya memenangi Puskas tetapi apabila pengalaman dia bermain di negeri-negeri yang lain sebelum ini.

“Jadi sudah tentunya pengalaman dia ditagih bukan hanya di padang, tetapi di luar padang membimbing pemain-pemain muda untuk menjadi pemain yang agak baik,” ujarnya.

Faiz, berehat sepanjang 2019 dengan Pulau Pinang pasukan terakhir ­diwakilinya sehingga tamat Liga Malaysia 2018.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, beberapa bekas pemain Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia dari seluruh negara telah menghadiri sesi pemilihan yang diadakan 27 dan 28 Februari lalu.

Menurutnya, seramai 46 pemain telah terpilih untuk mengikuti sesi pemilihan kedua hujung minggu ini untuk memilih sekurang-kurangnya 27 pemain.

Selain itu, katanya, KKFC juga mempunyai dua pemain import dari Ghana dan Sudan. – AA