Faisal Halim semakin stabil, Safiq Rahim pula jadi mangsa ketiga insiden jenayah babitkan pemain bola sepak

Faisal Halim semakin stabil, Safiq Rahim pula jadi mangsa ketiga insiden jenayah babitkan pemain bola sepak

 

Pemain kebangsaan, Faisal Halim kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kedua di sebuah hospital swasta di Shah Alam, petang semalam.

Khabar itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang berkongsi perkembangan berhubung keadaan terkini Faisal.

Pemain yang lebih dikenali sebagai Mickey itu terpaksa menjalani pembedahan kedua selama tiga jam bagi memulihkan kecederaan akibat disimbah asid pada Ahad lalu.

Bagaimanapun selang dua hari selepas tonggak Selangor FC itu diserang, seorang lagi pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim pula menjadi mangsa terbaharu dalam insiden jenayah.

Difahamkan, cermin kereta Safiq Rahim yang juga bekas ketua pasukan bola sepak kebangsaan itu dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kejadian itu berlaku sekitar jam 10.05 malam pada Selasa (semalam) di Padang Seri Gelam, Johor Bahru selepas kereta pemain bola sepak dari skuad JDT itu diikuti oleh dua lelaki bermotosikal.

Cukup mendebarkan, insiden terbabit dimaklumkan sendiri oleh Safiq menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya bersama lampiran laporan polis.

Safiq turut memuat naik gambar cermin belakang kereta jenis Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan oleh individu tidak bertanggungjawab menggunakan tukul besi.

Berdasarkan laporan itu, Safiq difahamkan sedang memandu kenderaan miliknya ke arah Pantai Lido selepas mengambil barang di pusat latihan berkenaan kira-kira pada jam 10.05 malam.

“Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.

“Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta. Mereka kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan.” katanya dalam laporan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu bahawa siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek juga giat dilakukan.

Lebih kurang seminggu lalu, seorang lagi pemain kebangsaan iaitu Akhyar Rashid turut diserang selepas menjadi mangsa samun di mana kepalanya dihentak dengan kuat menggunakan cota.

Dalam kejadian yang berlaku di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu itu, Akhyar mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas telefon bimbit dan dompet miliknya disamun.

Susulan itu, pemain yang berusia 25 tahun tersebut menerima empat jahitan di bahagian kepala, dua jahitan di bahagian kaki kiri dan bengkak di bahagian lengan kiri.