Fahami punca banjir, usah salahkan fenomena alam

Fahami punca banjir, usah salahkan fenomena alam

 

Fahami punca banjir, usah salahkan fenomena alam

Banjir melanda di sembilan negeri dengan lebih 150,000 mangsa dengan Selangor menjadi negeri terbaharu, manakala Kelantan menyaksikan bah terburuk dalam sejarah seperti disifatkan Ketua Polisnya, Datuk Mohd Yusoff Mamat memberikan peringatan kepada kita semua.

Pertamanya, apakah kita benar-benar memahami punca banjir atau hanya menyalahkan fenomena alam semata? Hakikatnya, ia bukan sekadar tragedi alam semula jadi, bahkan bayangan kesan tindakan manusia selama ini yang kini menghantui kita.

Pembangunan industri tidak lestari dan pengabaian keseimbangan alam sekitar menyumbang kepada keadaan seperti tikus membaiki labu kerana usaha pembangunan tidak bertanggungjawab membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan.
Perubahan iklim hasil kerakusan manusia antara penyebab utama bencana banjir kita hadapi hari ini. Pembangunan industri tidak terkawal seperti pelepasan gas rumah kaca daripada pembakaran bahan bakar fosil, menyebabkan pemanasan global.
Gas berbahaya terperangkap di atmosfera, mencetuskan kesan rumah hijau meningkatkan suhu bumi, akhirnya menyebabkan cuaca ekstrem, termasuk banjir. Ironinya, ‘pembangunan’ ini membawa kemusnahan kepada komuniti dan alam sekitar.

Pastinya tidak semua pernah merasai keperitan akibat banjir, tetapi kita semua dapat melihat kerosakannya seperti rumah musnah, kehidupan terganggu dan kesengsaraan mangsa berusaha bangkit semula.

Banjir kerap berlaku akibat kerakusan mengejar kemajuan mengingatkan kita betapa pentingnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Matlamat Ke-12 Sasaran Ke-6 (SDG 12.6) yang menggalakkan amalan lestari dalam kalangan industri.

Kerajaan proaktif meningkatkan kesedaran industri terhadap amalan hijau. Program MyHIJAU mempromosikan penggunaan dan pembelian produk serta perkhidmatan hijau di negara ini sejak 2012 lagi.

Malah, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), di bawah fokus utama kelapan, iaitu mempercepatkan pertumbuhan hijau, juga menekankan kepentingan amalan hijau sebagai pemangkin untuk memastikan amalan hijau lebih praktikal dan diterapkan semua pihak dalam industri.

Selain kerajaan, sudah ada beberapa usaha positif daripada sektor perkilangan patut kita teladani. Ajinomoto Malaysia misalnya memasang panel suria di bumbung kilang untuk menghasilkan tenaga elektrik bersih, mengurangkan pelepasan karbon, usaha mendapat pengiktirafan SILVER daripada Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Omron Malaysia mengambil inisiatif menggunakan bahan biodegradasi dan berjaya mengurangkan sebatian organik meruap (VOCs) dalam proses pengilangan, secara langsung membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Namun, usaha industri tidak mencukupi tanpa sokongan masyarakat. Pengguna mempunyai peranan besar menyokong amalan pembuatan lestari. Dengan memilih produk dihasilkan secara mesra alam, kita memberi insentif kepada syarikat untuk terus mengadaptasi teknologi hijau.

Denmark misalnya menunjukkan jalan apabila hampir dua pertiga rakyatnya memilih untuk membeli produk mesra alam pada 2022. Adakah kita mampu melakukan perkara sama?

Walaupun industri terutama kilang menjadi tunjang ekonomi Malaysia, pengembangan pesat memberi tekanan besar kepada alam sekitar. Bagi memastikan kemajuan berterusan, keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan kelestarian alam adalah kunci utama. Jika tidak, kita mungkin hanya mewariskan kemusnahan kepada generasi akan datang.

Pilihan ini berada di tangan kita semua dan jawapannya akan menentukan nasib masa depan. Adakah kita mahu melihat kehancuran memusnahkan atau kesejahteraan lestari?

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Open University Malaysia (OUM)