Everything going to be Okay, terpampang di tubuh kaku Angel; demonstran yang kemudiannya mati ditembak di kepala oleh tentera

Everything going to be Okay, terpampang di tubuh kaku Angel; demonstran yang kemudiannya mati ditembak di kepala oleh tentera

Angel memang sudah sedia untuk mati. Beliau menulis wasiat untuk organnya didermakan kepada yang perlu selain menulis jenis darah, seperti tahu tinggi risiko berdepan junta. Angel persis Namanya, ialah bidadari perjuangan rakyat Myanmar.

Apa yang membuatkan rakyat bangkit mempertaruhkan nyawa?

Hampir sedekad tarik tali demokrasi sejak 2011, kuasa politik terbesar Myanmar –Tatmadaw, institusi ketenteraan akhirnya melancarkan rampasan kuasa atau kudeta ke atas kerajaan NLD pimpinan Aung San Suu Kyi – beberapa jam sebelum parlimen bersidang di Nay Pyi Taw.

Kudeta Isnin 1 Februari sudah dijangka sejak lama. Selepas NLD memenangi PRU 2015 dahulu, ramai sceptic percaya demokrasi rakyat biasa tidak akan berpanjangan. Boleh dikatakan, kudeta yang berlaku tempoh hari tertangguh sejak 2015.

Pemerintahan junta kali ini diumumkan akan berlangsung selama setahun – sebelum parlimen dihidupkan semula. Panglima Tatmadaw, Jeneral Min Aung Hlaing yang mengepelai kudeta dijangka bakal menjadi ketua negara dalam tempoh ini selepas Naib Presiden Myint Swe menyerahkan kuasa.

Mengimbau sejarah panjang demokrasi Myanmar, boleh disimpulkan bahawa sejarahnya adalah ketenteraan, rampasan kuasa & kudeta, pertembungan antara militer, dan penindasan kelas yang ketara.

Ruang demokrasi yang dinikmati rakyatnya dalam dekad sekarang tidak sampai dengan mudah. Banyak nyawa telah terkorban dan ramai tubuh telah dipenjara.

Pertembungan kelas di Myanmar unik dari biasa. Rakyat biasa dihimpit kehidupan yang sukar dan miskin. Kualiti hidup yang dinikmati oleh ahli keluarga tentera jauh berbeza dengan rakyat biasa di luar pagar kem-kem tentera.

Golongan rakyat biasa mencari rezeki di negara lain untuk menampung kehidupan keluarga, atau menyertai tentera. Anak-anak gadis yang lebih konservatif terutama di luar bandar pula ada yang diasuh untuk berjodoh dengan tentera agar dapat keluar dari kesempitan hidup.

Penjawat awam seperti guru, petugas kesihatan, polis awam pula terikat untuk tunduk dengan kompleks ketenteraan yang lebih berkuasa.

Sistem parlimen mulai diperkenalkan dengan parti politik termasuk NLD mula dibenarkan dalam menuju ke pilihan raya umum. Junta juga tidak lagi memerintah, sebaliknya melalui parti politik proksi mereka, USDP dengan presiden pertamanya U Thein Sein.

U Thein seorang bekas panglima dan bekas Perdana Menteri sebelum menyertai politik sebagai orang awam. Beliau memulakan langkah2 besar termasuk mengembalikan pilihan raya, dan membebaskan Aung San Suu Kyi dengan tujuan meraih semula keyakinan dunia luar dan ekonomi negara.

Begitupun, langkah perubahan tidak sepenuhnya memberi kuasa kepada orang awam. Pindaan perlembagaan pada 2008 memperuntukkan 25% kerusi tetap milik tentera di dalam kedua-dua dewan rakyat dan dewan negara.

Dalam erti kata lain, tiada perlembagaan yang boleh dipinda walaupun kerajaan bertukar tangan memandangkan tentera mempunyai kuasa veto yang tidak boleh digugat. Inilah garis sempadan yang mengurung demokrasi Myanmar.

Hakikatnya Myanmar adalah negara yang sangat berpecah. Hampir kesemua 12 etnik yang mendiami negara tersebut mempunyai kumpulan militan dan gerila masing-masing yang amat berpengaruh dan masih menguasai politik tempatan negeri masing-masing.

Kewujudan Tatmadaw sebagai ‘kuasa tentera pusat’ sedikit sebanyak mengendurkan pengaruh militan dan gerila yang wujud berselerakan ini – menjadi common enemy untuk diacungkan senjata.

Kenapa pula junta perlu menunggu sekian lama untuk merampas kuasa?

Antara pandangan yang boleh difikirkan adalah tekanan kuasa asing yang semakin mengendur, selain pengaruh NLD dan Aung San Suu Kyi yang makin terhakis di luar negara rentetan beberapa langkah dan dasar sepanjang pemerintahan terutama berkaitan isu Rohingya.

Biar pun NLD makin popular di kertas undi, junta yang sudah terbiasa memerintah tanpa mempedulikan tekanan domestik selama berdekad; menilai keadaan sekarang sebagai paling sesuai – di saat tekanan dan sokongan asing tidak sebesar dahulu.

Kini pemergian Angel, menyala semangat Milk Tea Alliance di seluruh Asia. Simbol anak muda yang sanggup bergadai nyawa untuk pertahan demokrasi dari mereka yang sanggup buat apa saja untuk pertahankan kuasa! Rest In Power, Angel