Etika pakaian: Hospital Kampar tidak pernah halang pesakit tidak boleh terima rawatan

Etika pakaian: Hospital Kampar tidak pernah halang pesakit tidak boleh terima rawatan

 

Pihak Hospital Kampar tidak pernah mengeluarkan arahan kepada kakitangan hospital itu atau menghalang pesakit yang tidak mematuhi etika berpakaian, daripada menerima sebarang rawatan.

Pengarahnya Dr Khairul Azha Azam berkata setiap pesakit yang datang ke hospital itu untuk menerima sebarang rawatan, diterima dalam apa juga keadaan terutamanya sewaktu kecemasan.

“Merujuk kepada isu tular di sosial media berkenaan insiden pesakit wanita di kaunter triage pada 13 Feb lalu, hasil laporan awal mendapati seorang pesakit wanita berusia lingkungan awal 20-an datang ke Unit Kecemasan Hospital Kampar dan beliau diperiksa oleh pegawai yang bertugas, di kaunter berkenaan. “Beliau telah ditegur oleh pegawai tersebut kerana berseluar pendek.

“Pegawai yang bertugas telah bertindak mengambil baju dan kain pesakit untuk diberikan kepada wanita tersebut untuk dipakai sementara, namun wanita itu telah meninggalkan kaunter triage dan memaklumkan kepada kakitangan lain yang dia akan mendapatkan rawatan di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Khairul Azha berkata bagaimanapun wanita itu kembali semula ke Unit Kecemasan dan telah menerima rawatan dari doktor yang bertugas, dan dibenarkan pulang.

Susulan insiden tersebut, Dr Khairul Azha berkata teguran telah diberikan kepada pegawai terbabit berkaitan isu tersebut, kerana tindakan itu adalah salah dan tidak boleh diulangi.

Beliau berkata hebahan telah diberikan kepada semua kakitangan, supaya menerima pesakit tanpa mengira isu pakaian atau ada sebarang diskriminasi.

Tular di media sosial mengenai dakwaan seorang wanita yang ingin mendapatkan rawatan di Hospital Kampar diminta pulang menukar pakaian oleh pegawai bertugas, kerana memakai seluar pendek.