Enggan ikut rakan ponteng sekolah, pelajar tingkatan 3 kena belasah guna helmet

Enggan ikut rakan ponteng sekolah, pelajar tingkatan 3 kena belasah guna helmet

 

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah ditahan polis berikutan tularnya video pergaduhan yang melibatkan dua pelajar sekolah menengah di ibu negara.

Video berdurasi 14 saat itu memperlihatkan seorang pelajar berpakaian sukan duduk di atas seorang pelajar lain di kawasan belukar.

Selain memaki hamun, pembuli itu juga membuang sampah daun kering ke atas mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisoner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 5.33 petang.

Seorang lelaki warga tempatan memaklumkan anak lelakinya yang juga berusia 15 tahun telah dipukul oleh rakan sekolah.

Siasatan awal mendapati bahawa, kejadian tersebut berpunca daripada mangsa yang enggan mengikut suspek ponteng sekolah.

Suspek yang tidak berpuas hati kemudian memaksa mangsa menaiki motosikal dan membawanya ke lokasi kejadian sebelum dipukul berkali-kali di bahagian muka dan dada dengan menggunakan helmet.

Video kejadian dirakam oleh rakan-rakan suspek dan tersebar di media sosial. Susulan laporan tersebut, polis telah menahan suspek pada pukul 1.22 pagi.

Sebuah helmet jenama MS88 warna merah yang disyaki digunakan semasa kejadian juga telah dirampas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.