Enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah digantung sekolah serta merta

Enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah digantung sekolah serta merta

 

Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial semalam digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di institusi itu.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM sudah memanggil 10 pelajar yang terbabit dengan insiden berkenaan.

“Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terbabit memukul mangsa manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi. Pelajar-pelajar ini berada di Tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Padang Terap, Naka di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim.

Mahdzir berkata, Mara mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan siasatan luaran.

Katanya, Mara mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang ditetapkan JDM dan kes ini akan dibawa kepada Jawatankuasa Displin Rayuan Maktab.

“Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.

“Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir memberitahu kejadian buli itu tidak akan mengganggu proses pengambilan pelajar MRSM pada tahun depan.

Katanya, sesi temuduga bagi pengambilan MRSM akan diteruskan seperti biasa termasuk menggunakan prosedur sedia ada.

“Sesi temuduga akan diteruskan seperti biasa kerana kita perlu mengambil pelajar untuk kemasukan tahun depan. Kes ini adalah kes terpencil dan ia sekali sekala berlaku, ini emosi anak muda, kalau kita baca laporan penuh itu ia lebih kepada kemarahan, kalau kau lapor benda (perkara) ini aku akan buat kau, lebih kurang macam itulah.

“Tak tahulah sekiranya ada peluang kedua dalam hidup dia (mereka), budak-budak lagi, kita akan laksanakan cadangan itu bermakna dia pergi sekolah lain,” katanya, memetik Harian Metro.

Mahdzir dalam pada itu, turut menasihatkan pelajar di bawah KPLB supaya membuat laporan kepada pengetua atau guru, tenaga pengajar serta kaunselor sekiranya berlaku kejadian seumpama itu.