Empat lokaliti di Perak, Terengganu kena PKPD bermula 14 Februari

Empat lokaliti di Perak, Terengganu kena PKPD bermula 14 Februari

Sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah, Perak dan Kuarters Kakitangan bermula 14 sehingga 27 Februari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes positif Covid-19 telah direkodkan serta 45 baki saringan sedang menunggu keputusan.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD di pusat tahanan ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Darau Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu bermula 14 sehingga 27 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi mengawal pergerakan penduduk, mengurangkan jangkitan dalam komuniti serta memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas kira-kira 2,152 penduduk di ketiga-tiga lokaliti ini.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 570 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan meliputi ketiga-tiga lokaliti ini,” jelasnya.

Selain itu Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Simpang Renggam, Johor dan Kuarters Kakitangan pada 14 Februari 2021 seperti yang dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan 476 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 294 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM turut melaporkan kes positif Covid-19 di penjara ini telah menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta kes terakhir yang direkodkan ialah pada 11 Februari 2021 iaitu sebanyak dua kes,” tambahnya.  – KO