Empat lelaki diberkas ketika curi alat pembinaan

Empat lelaki diberkas ketika curi alat pembinaan

 

Polis berjaya memberkas empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan bernilai RM800,000, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata suspek berusia 42 hingga 58 tahun ditahan hasil tindakan pantas anggota dari Balai Polis Bercham, berikutan aduan diterima mengenai kejadian itu.

Katanya, polis turut merampas kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah itu.

“Selain itu, polis turut merampas barangan besi seberat lebih 7.3 tan yang disyaki dicuri anggota kumpulan terbabit.

“Keempat-empat suspek ditangkap di Bercham ketika mereka sedang memindahkan barang curi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Yahaya berkata, usaha mengesan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes berkenaan namun masih bebas, kini giat dijalankan.

Suspek, S Yogentheren, 40 tahun, dengan alamat terakhir di No. 16, Dataran Tasek Timur 12, Taman Maju Bercham, Ipoh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau pernah membeli barangan daripadanya diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Norshaharah Marzuki di talian 017-4817800,” katanya.