Empat beranak maut: Pemandu treler bebas dengan jaminan polis

Empat beranak maut: Pemandu treler bebas dengan jaminan polis

 

Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga di KM277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Yahaya Hassan berkata lelaki berusia 34 tahun itu yang direman selama tiga hari sejak Khamis lepas dibebaskan kira-kira 10.45 pagi semalam apabila keterangannya selesai dirakam.

“Polis menunggu arahan pihak timbalan pendakwa raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam jawapan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang Rabu lalu, empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler di lokasi berkenaan.

Mangsa, pesara polis Rahim Ramli, 60, isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuan mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pemandu itu mempunyai 13 saman kesalahan trafik sejak 2008 sehingga tahun lepas, termasuk tiga daripada saman tersebut adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya.