Teka teki terjawab, Emma Maembong & Shazli sah cerai & sudah habis idah
“Ya kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah,” kata pelakon jelita, Emma Maembong yang mendedahkan dia dan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar sudah bercerai secara baik.
Menyedari krisis rumah tangganya hangat diperkatakan dan dibincangkan di forum gosip, Emma bagaimanapun memilih pendekatan berdiam diri dan tidak mahu mengeruhkan keadaan selama ini.
Emma berkata, disebabkan itu juga dia masih memuat naik foto bersama bekas suami di media sosial hingga ramai pihak mula berteka-teki sama ada dia dan bekas suaminya masih bersama atau tidak.
“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini.
“Sebenarnya tujuan saya masih memuat naik foto bersama bekas suami di Instagram hanyalah untuk menjaga emosi anak-anak supaya mereka tidak terkesan dengan perpisahan ini.
“Saya nak anak-anak saya melihat keluarganya masih bahagia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ditanya bilakah perpisahan itu berlaku, Emma enggan berkongsi butiran terperinci kerana ia bukan perkara yang indah untuk dikongsikan.
“Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.
“Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), saya rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya.
“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,”katanya.
Menurut Emma, dia bersyukur hubungannya dengan bekas suami masih baik dan masing-masing reda dengan perceraian yang berlaku.
“Walaupun sudah tidak bersama, hubungan kami masih baik.
“Masing-masing terima perceraian ini dengan berlapang dada dan matang. Kami juga anggap dugaan ini sebagai satu proses untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.
“Fokus kami sekarang adalah membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang. Walaupun sudah tidak bersama, kami akan tetap buat aktiviti keluarga bersama-sama dengan dua cahaya mata kami”katanya.
Sementara itu, Shazli ketika dihubungi menyifatkan urusan jodoh pertemuan adalah rahsia Allah dan reda dengan segala ketentuan.
“Kita cuma mampu merancang, namun soal jodoh, ajal semua di tangan Tuhan.
“Allah sebaik-baik perancang. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita,” katanya.
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.