“Elsa bukan tak cukup makan..” – Tular Harimau Putih Bengal kurus melampau, ini jawapan Zoo Melaka
Sejak hujung minggu lalu, tular sebuah video yang memaparkan kondisi seekor Harimau Putih Bengal yang kelihatan terlalu kurus dan tidak sihat.
Pun begitu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron membuka mulut berkenaan isu itu dan menceritakan perkara yang sebenarnya.
Menurut laporan Sinar Harian, Harimau Putih Bengal yang diberikan nama Elsa itu sebenarnya mempunyai masalah kesihatan pada tulang punggung dan belakang selain rahangnya.
Beliau turut menafikan khabar angin yang menyatakan Elsa tidak diberikan makanan yang secukupnya yang menyebabkan keadaan fizikalnya itu.
Seekor Harimau Putih Bengal ditempatkan di Zoo Melaka didakwa kurus dan kelaparan mendapat perhatian umum apabila video mengenainya tular sejak Sabtu.
Video itu dikongsikan pemilik akaun TikTok dikenali sebagai Nurul Z mendakwa haiwan itu kelihatan gelisah.
Difahamkan haiwan… pic.twitter.com/BhH5ASJWJ9
— SinarHarian (@SinarOnline) January 7, 2024
Malah, ketika Elsa ditempatkan di Zoo Melaka pada tahun 2019 berat badannya dianggarkan 50 kilogram (kg) namun kini mencecah kepada 70kg sekali gus bercanggah dengan dakwaan yang tular di media sosial.
“Disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi itu, kalau berat badan terlalu berat, akan menyukarkan Elsa dari segi pergerakan.
Kalau kita lihat Elsa dalam keadaan gelisah, sebabnya haiwan itu mahukan perhatian,” katanya.
Datin Sapiah juga berkongsi Elsa diberi makan sebanyak lima ekor ayam yang dianggarkan lima kilogram sehari namun Harimau Putih Bengal itu hanya mampu makan sekitar tiga hingga empat kilogram sahaja.
“Elsa merupakan haiwan kacukan istimewa dan tidak seperti harimau normal lain dan kita pantau dari segi makanan serta berikan vitamin secukupnya,” katanya lagi.
Selain itu, difahamkan pihak Zoo Melaka akan meletakkan pemakluman kesihatan Elsa di tempat paparan agar pengunjung dapat mengetahui keadaan sebenar Elsa selain mengelakkan dakwaan seperti itu tular lagi.