Elak terperangkap kesesakan di lebuh raya, jalan lama jadi pilihan

Elak terperangkap kesesakan di lebuh raya, jalan lama jadi pilihan

 

Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur menjadi alternatif pengguna Lebuh Raya Utara Selatan bagi mengelak kesesakan yang berlaku pada musim perayaan.

Sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, bilangan pengguna jalan lama dari Tanjung Malim – Tapah meningkat selepas pengguna lebuh raya menggunakan susur keluar di Plaza Tol Tanjung Malim, Behrang dan Slim River.

Kesesakan dipercayai berlaku di kawasan pertukaran lorong dari tiga lorong kepada dua lorong di Kilometer 367.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara iaitu selepas susur keluar Plaza Tol Slim River menyebabkan pengguna melencong menuju ke jalan lama melalui susur keluar di Plaza Tol Sungkai, Bidor atau Tapah.

Sebaliknya, selepas cuti Aidilfitri ketika warga kota mula pulang ke ibu kota menyaksikan jalan lama dari Tapah-Tanjung Malim pula menjadi alternatif pengguna bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya terutama di Kilometer 371.7 Lebuhraya Utara Selatan sebelum susur keluar Plaza Tol Slim River di kawasan pertukaran lorong dari dua lorong kepada tiga lorong.

Pengguna mempunyai pilihan akan kembali ke lebuh raya melalui susur masuk di Plaza Tol Slim River, Behrang atau Tanjung Malim.

Tinjauan sebelum dan selepas Aidilfitri mendapati aliran trafik Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur sama ada arah utara dan selatan berjalan lancar walaupun kadangkala pelahan namun berlaku secara berkala.

Sementara itu, tinjauan sepanjang lebih 20 kilometer melalui Jalan Ipoh-Kuala Kangsar hingga pekan Sungai Siput mendapati aliran trafik lancar di kedua-dua arah setakat jam 12 tengah hari ini.

Bagaimanapun keadaan sedikit sesak sepanjang-kira 500 meter namun bergerak sedikit di sepanjang kawasan pekan Sungai Siput namun aliran trafik kembali lancar sejurus melepasi lampu isyarat di Kilometer 26 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.

Sebelumnya, kesesakan lalu lintas yang berlaku di pekan Sungai Siput pada hari pertama dan kedua lebaran memaksa sebilangan pengguna jalan raya menggunakan jalan dalam atau jalan kampung dari Kuala Kangsar untuk ke Ipoh.

Antara laluan yang digunakan adalah melalui jalan dari pekan Karai ke Kampung Temin, Sungai Siput sebelum menembusi persimpangan di Lintang, Perlop dan Jalong seterusnya ke Tanah Hitam, Chemor menghampiri Tanjung Rambutan di Ipoh.

Pengguna jalan raya, Muhammad Afkar, 29, berkata, kesesakan lalu lintas yang ditempuhi semasa ingin berkunjung ke rumah ibu saudaranya dari Kuala Kangsar menghala Tanjung Rambutan pada Selasa lalu memaksanya serta isteri menggunakan jalan dalam dari persimpangan Jalong di Kilometer 26 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar untuk ‘tembus’ di Tanah Hitam, Chemor.

“Hanya orang tempatan yang tahu laluan itu dan Alhamdulillah sewaktu melalui jalan itu aliran trafik agak lancar. Jadi jika individu yang bukan orang sini, mereka hanya sekadar menggunakan jalan persekutuan Kuala Kangsar-Ipoh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan ini, pihaknya mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah bagi meletakkan mod berjaga-jaga atau ‘lampu kuning’ di beberapa lampu isyarat persimpangan jalan di sekitar Sungai Siput.

Mohd Khaizam ketika dihubungi berkata, ia bagi memastikan kelancaran aliran trafik di Sungai Siput yang kapasiti kenderaan di jalanraya setiap tahun sememangnya dijangka mengalami peningkatan sehingga 300 peratus sewaktu perayaan Aidilfitri.

Katanya, mod lampu kuning secara berkelipan dipasang juga bersempena Op Selamat 18 yang dilancarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 29 April lalu sempena Aidilfitri tahun ini dengan ia dijangka berakhir pada Ahad ini bergantung pada keadaan.