Ejen nombor ramalan tidak berlesen diserbu
Hanya beroperasi tiga kali seminggu dengan mengaut hasil jualan antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari menjadikan empat premis di sekitar Manjung di sini, tidak serik menjadi ejen nombor ramalan tidak berlesen biarpun sudah dikenakan tindakan sebelum ini.
Bagaimanapun, kegiatan empat premis masing-masing di Sitiawan, Lumut dan Ayer Tawar itu tidak bertahan lama apabila diserbu dalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 3 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi haram itu dilakukan di dua kedai runcit, kedai telekomunikasi dan rumah.
Menurutnya, berdasarkan rekod empat premis itu pernah diserbu dan dikenakan tindakan sebelum ini.
“Mereka beroperasi hanya tiga kali seminggu dan mengikut waktu cabutan nombor ramalan itu dan dipercayai menerima komisen jualan harian sebanyak 18 peratus.
“Semua premis itu sudah diserbu tiga hingga lima kali sebelum ini, namun mereka masih tidak serik dan dikesan masih menjalankan kegiatan sama.
“Susulan itu, polis mengambil tindakan memotong bekalan elektrik di empat premis itu dengan turut mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika ditemui di Sitiawan, di sini, hari ini.
Nor Omar berkata, pemotongan bekalan elektrik di premis yang masih menjalankan kegiatan sama adalah tindakan tegas pihak polis yang tidak berkompromi terhadap mana-mana individu atau premis menjalankan aktiviti perjudian haram.
Katanya, bagi tahun ini, sebanyak 14 premis sudah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di daerah berkenaan.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/649452/sehari-kaut-rm2000-hingga-rm3000-metrotv