Penyanyi ‘Bae Sobar Bae’ akan sambut raya dalam penjara Narathiwat sebelum dibebaskan

Penyanyi ‘Bae Sobar Bae’ akan sambut raya dalam penjara Narathiwat sebelum dibebaskan

 

Penyanyi ‘Bae Sobar Bae’ akan sambut raya dalam penjara Narathiwat sebelum dibebaskan

Penyanyi dikir barat moden Eda Ezrin yang dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba awal bulan ini, dijangka dibebaskan selepas Aidilfitri.

Ibu saudara Eda Ezrin, Wan Roshayati Wan Yusof, berkata ibu penyanyi itu, Zaharah Mamat, 47, memberitahunya Eda Ezrin dan lima lagi rakyat Malaysia, termasuk suaminya akan menyambut Hari Raya di Penjara Narathiwat.

“Zaharah yang juga bekas adik ipar saya, baru-baru ini melawat Eda Ezrin dan memberitahu saya bahawa Eda Ezrin tidak akan meraikan Hari Raya bersama keluarganya.

“Dia, suaminya dan empat yang lain hanya akan dibebaskan selepas Hari Raya.

“Ibunya memberitahu saya dia sedih kerana anak sulungnya tidak dapat bersama mereka untuk menyambut Hari Raya, tetapi dia menerimanya dengan hati terbuka,” kata ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.

Wan Roshayati berkata Zaharah juga merancang membeli pakaian Raya kepada anaknya. Akan tetapi dia dimaklumkan dalam penjara, banduan hanya dibenarkan memakai pakaian yang disediakan,” tambahnya.

Beliau berkata Zaharah berkata, Eda Ezrin yang nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail turut memberitahu ibunya dia akan meneruskan kerjaya nyanyian apabila dibebaskan.

Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima lagi rakyat Malaysia termasuk suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan penggunaan dadah tetapi menafikan pertuduhan memiliki bahan terlarang itu.

Pada 6 Mac lalu, keenam-enam mereka dibebaskan Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba.