Ebit Lew hadiahkan iPhone kepada Ustaz Azhar Idrus

Ebit Lew hadiahkan iPhone kepada Ustaz Azhar Idrus

 

Personaliti dakwah terkenal, Ebit Lew hadiahkan iPhone kepada UAI ketika menghadiri majlis kuliah pendakwah bebas tersebut di sebuah masjid.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, UAI atau nama sebenarnya Ustaz Azhar Idrus kelihatan sedang menyantuni jemaah yang menghadiri kuliahnya sebelum Ebit Lew bertemu dengannya.

@ustazebitlew

Alhamdulillah. Syukur hadir kuliah ilmu Guru Murabbi Ummah yang dihormati dan disayangi Ustaz Azhar Idrus. Semoga berjuta rahmat Allah beri padanya berilah sedikit pada diriku#ebitlew #fyp #ebitlew #fyp #viral

♬ Cinta Setandan Pisang – Eda Ezrin & Den Manjo

Selepas sahaja UAI selesai menyampaikan kuliahnya, Ebit Lew telah bertemu dengannya kemudian memberikan sebuah iPhone dan satu sampul berwarna merah yang dipercayai mengandungi wang.

Sebaik sahaja menerima pemberian Ebit Lew, UAI terus memeluknya sambil dilihat oleh orang ramai yang menghadiri kuliah pada malam itu.

Pada ruangan kapsyen pula, Ebit Lew menyatakan dia telah hadir ke kuliah UAI disamping menitipkan doa agar pendakwah bebas itu sentiasa dirahmati.

“Alhamdulillah. Syukur hadir kuliah ilmu Guru Murabbi Ummah yang dihormati dan disayangi Ustaz Azhar Idrus.

“Semoga berjuta rahmat Allah beri padanya, berilah sedikit pada diriku,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya yang menitipkan doa kepada kedua-dua pendakwah itu agar mereka terus diberikan kesihatan untuk terus berdakwah.

Dalam pada itu, ada juga warga maya yang meninggalkan komen berseloroh yang mana mereka turut meminta hadiah iPhone daripada Ebit Lew.

Terdahulu, Ebit Lew menjadi sebutan netizen selepas memuat naik video memaparkan dirinya tanpa kopiah menerusi satu perkongsian di TikTok miliknya.

Pada video itu, Ebit Lew yang tidak memakai kopiah sedang melakukan parodi watak Shark lakonan Syamsul Yusof dalam filem KL Gangster.

Sekadar info, Ebit Lew terkenal dengan sikapnya yang suka memberi bantuan dan memuat naik momen menyantuni insan-insan yang ditimpa musibah menerusi akaun media sosialnya.

Ebit Lew bukan sahaja melakukan kerja-kerja kebajikan ini di dalam negara, malah turut memberikan bantuan di luar negara seperti di Indonesia, Brazil, Afrika dan banyak lagi.

Namun begitu, baru-baru ini beliau telah terpalit isu dakwaan gangguan seksual dan kini masih lagi dalam proses perbicaraan di mahkamah.