DUN Perak bubar hari ini

DUN Perak bubar hari ini

 

Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembubaran itu selepas mendapat warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

Katanya, ia selaras dengan Perkara 32(2), Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

“Pembubaran bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, di sini hari ini.

Dilapor, pada Rabu, Saarani kali pertama menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan hasrat pembubaran DUN sebelum dititahkan sekali lagi menghadap pada Jumaat.

Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober, serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRU15 diadakan serentak.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), BERSATU (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu).

Jumaat lalu, Pahang dan Perlis masing-masing membubarkan DUN ke-14 bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU15.

Setakat ini, hanya DUN di negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) iaitu Perak, Pahang, dan Perlis yang dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya bersekali dengan pilihan raya Parlimen.

DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak akan dibubarkan kerana baharu melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kini belum mencapai tempoh matang.

Sementara itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) minggu lalu mengumumkan negeri yang ditadbir gabungan itu iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan.

Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu diambil bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir di tiga negeri terbabit.

PAS juga tidak membubarkan DUN tiga negeri ditadbirnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. PAS berpendirian akan hanya membubarkan DUN pada hujung penggal semasa.