Dua warga emas ditahan cabul kanak-kanak tujuh tahun

Dua warga emas ditahan cabul kanak-kanak tujuh tahun

Dua lelaki warga emas ditahan selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga cucu mereka sejak hujung tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Azmir Damiri berkata, kedua-dua suspek ditahan di Selising di sini pada Isnin lalu selepas polis menerima aduan mengenai kejadian itu.

Menurut beliau, salah seorang suspek berusia 67 tahun adalah datuk kepada kanak-kanak terbabit manakala seorang lagi suspek berusia 73 tahun adalah datuk saudara kepada mangsa.

“Siasatan mendapati, kanak-kanak berkenaan mengaku kedua-kedua individu yang dikenalinya itu melakukan perbuatan keji sejak November tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Azmir, bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor terhadap mangsa tidak menemukan sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan dengan kes rogol.

Katanya, kedua-dua suspek direman enam hari bermula Isnin lalu untuk siasatan lanjut.

“Polis menunggu tarikh temu janji pihak Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) untuk menjalankan siasatan terperinci kes itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.  – UO