Dua tahun kerja tak pernah ada isu, staf dapat ‘query letter’ dari majikan gara-gara keluar solat Jumaat

Dua tahun kerja tak pernah ada isu, staf dapat ‘query letter’ dari majikan gara-gara keluar solat Jumaat

 

Salah satu kewajipan utama bagi umat Islam adalah menunaikan solat lima waktu.

Walau di mana jua kita berada, solat wajib ditunaikan kecuali bagi mereka yang hilang kewarasan akal.

Di Facebook, seorang pemuda tampil mengadu tentang nasibnya yang seolah-olah dihalang untuk menunaikan solat ketika sedang bekerja.

Dalam perkongsiannya, pemuda itu berkata dia memerlukan khidmat nasihat perundangan untuk mencari solusi kepada masalah berkenaan.

“Saya ingin dapatkan khidmat nasihat mengenai hak pekerja berkenaan solat Jumaat. Saya bekerja syif.

“Baru-baru ini saya dapat query letter kerana menunaikan solat Jumaat.

“Selama saya bekerja dua tahun, tak pernah ada isu menunaikan solat. Apakah langkah seterusnya yang boleh saya lakukan?

“Saya memerlukan khidmat nasihat dan sekiranya ada peguam yang boleh membantu, sila tinggal contact untuk saya hubungi,” tulis pemuda itu.

Hantaran berkenaan dibuat menerusi laman facebook Peguam dan Pengguna Malaysia (PPM) pada Isnin.

Menurut mStar, pemuda yang tidak mendedahkan identitinya itu, kejadian berkenaan berlaku di dalam negeri Selangor.

Di ruangan komen, seorang peguam menasihat pemuda itu agar menjawab surat yang diberikan majikannya.

Namun sekiranya dia dipotong gaji, faedah atau diberhentikan kerja, peguam itu menasihat pengadu agar membuat aduan kepada pihak berwajib.

“Memandangkan masih di peringkat query, boleh respond dengan memberi justifikasi.

“Sekiranya majikan memotong gaji atau faedah disebabkan solat Jumaat, boleh berhubung dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Sekiranya diberhentikan pula, boleh buat aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP),” ujar seorang individu.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, pihak majikan hendaklah memberi pelepasan kepada pekerja yang beragama Islam untuk menunaikan solat bagi masa:

1. Sekurang-kurangnya 20 minit bagi waktu solat; dan

2. Sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit bagi solat Jumaat.