Dua suspek kes panah anjing sehingga mati ditahan

Dua suspek kes panah anjing sehingga mati ditahan

Dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian memanah seekor anjing sehingga mati di Kampung Berjaya, dekat Alor Setar ditahan polis petang tadi.

“Kedua-dua suspek ditahan secara berasingan pada jam 4 dan 5 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar susulan laporan dibuat seorang pengadu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek pertama berusia 30-an ditahan di sebuah kelab golf di Jitra, manakala suspek kedua berusia 20-an (Kampung Hilir, Kepala Batas).

Kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian mendapati negatif dadah.

“Turut dirampas dua busur panah, satu tabung pengisi anak panah berwarna hitam dan 21 anak panah di rumah suspek pertama.

“Kedua-dua suspek akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015/ Seksyen 45 Akta Binatang 1953,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berhampiran lokasi kejadian merakam perlakuan seorang lelaki memanah anjing liar antara jam 4.21 pagi hingga 5.26 pagi. – AA