Dua sekatan jalan raya di maahad Padang Rengas susulan PKPD

Dua sekatan jalan raya di maahad Padang Rengas susulan PKPD

Polis mengetatkan kawalan di pintu masuk dan keluar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan sekolah itu malam ini mendapati seramai lapan anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia ditempatkan di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya telah melaksanakan SJR itu sejak Khamis lepas namun diperketatkan berikutan pelaksanaan PKPD.

“Kita mengetatkan kawalan apabila PKPD dikuatkuasakan dengan semua jalan tikus turut ditutup untuk laluan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Padang Rengas malam ini.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri pada sidang media hari ini berkata kerajaan menguatkuasakan PKPD di sekolah itu dari 8 hingga 21 Nov.

Pelaksanaan PKPD itu adalah bagi memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan bersasar melibatkan sejumlah pelajar dan 11 staf bagi menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti setempat.

KKM telah merekodkan 27 kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.

Sumber: Perak Today