Dua polis peronda cedera, suspek baling objek besi diburu

Dua polis peronda cedera, suspek baling objek besi diburu

Sejak semalam, tular sebuah video dashcam yang memaparkan satu kereta peronda polis (MPV) sedang mengejar sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Menurut laporan Berita Harian, kejadian di kilometer (KM) 215 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Taiping itu telah menyebabkan dua anggota polis cedera selepas terlibat dalam kemalangan yang berpunca daripada tindakan pemandu Toyota Hilux itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, kereta peronda polis itu telah menerima arahan daripada pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi memberi bantuan kepada lima lagi kereta peronda MPV polis dari IPD Ipoh dalam usaha menahan kenderaan suspek.

Difahamkan, kenderaan MPV yang dipandu polis berpangkat koperal dan lans koperal itu telah memberi amaran untuk berhenti kepada pemandu Toyota Hilux berkenaan dengan menggunakan pembesar suara sebanyak tiga kali.

Namun pemandu kereta pacuan empat roda itu tidak mengendahkan arahan pihak polis sebelum bertindak melemparkan besi tersebut.

Besi itu kemudiannya mengenai bahagian bawah kenderaan polis itu dan mengakibatkan ianya hilang kawalan lalu berpusing-pusing sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan mengenai kejadian itu dan suspek yang dikejar itu difahamkan telah lolos.