Dua perisik tentera Pal3stin antara tiga dibunuh rejim I5R43L

Dua perisik tentera Pal3stin antara tiga dibunuh rejim I5R43L

Pasukan keselamatan rejim Zionis Israel membunuh tiga individu, termasuk dua pegawai perisikan tentera Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam serbuan di bandar Jenin – wilayah diduduki Israel secara haram di Tebing Barat – hari ini.

Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti dua pegawai terbabit sebagai Adham Yasser Alawi, 23, dan Tayseer Issa, 32, lapor agensi berita Palestin, WAFA, sambil menambah mangsa ketiga ialah Jamil al-Amuri yang pernah dipenjarakan rejim Israel.

Seorang lagi rakyat Palestin, Muhammad al-Bazour, 23 tahun, dilaporkan cedera parah dalam serangan oleh anggota tentera rejim Zionis yang menyamar orang awam.

Klip video yang tular di media sosial menunjukkan pegawai Palestin berlindung di sebalik sebuah kenderaan tatkala tembakan dilepaskan. Seorang individu menjerit mengatakan mereka bertempur dengan pasukan tentera Israel yang menyamar.

Media Israel mendakwa al-Amuri adalah anggota Jihad Islam, tetapi belum disahkan oleh pihak berkuasa Palestin.

Ribuan rakyat Palestin yang berkabung keluar di jalan raya di Jenin untuk mengambil bahagian mengiringi pengebumian Alawi, ketika persiapan untuk pengebumian dua lelaki lain yang terbunuh juga sedang berlangsung.

Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudaina mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan berbahaya Israel.

Saksi di tempat kejadian berkata pasukan keselamatan rejim Israel melepaskan tembakan ke arah pegawai perisikan tentera PA yang berada di luar bangunan mereka berhampiran tempat kejadian.

Di bawah perjanjian damai sementara yang ditandatangani pada tahun 1990-an, PA memiliki autonomi terhad di kawasan sekitar 40 peratus daripada Tepi Barat yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis.

Israel pula mempunyai autoriti penuh ke atas Tebing Barat dan secara rutin melakukan serbuan dan penangkapan di bandar yang ditadbir oleh PA.

Berdasarkan Perjanjian Oslo 1993, PA diwajibkan untuk berkongsi maklumat dengan Israel mengenai sebarang penentangan bersenjata terhadap rejim Israel di bawah ‘koordinasi keselamatan’.

Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang mentadbir Semenanjung Gaza sebelum itu mengutuk langkah PA mengadakan koordinasi keselamatan dengan rejim Israel sehingga ramai anggotanya yang ditangkap. – Agensi

Sumber: agendadaily