Dua penjawat awam antara 9 ditahan dalam serbuan parti liar

Dua penjawat awam antara 9 ditahan dalam serbuan parti liar

 

Sembilan individu termasuk dua penjawat awam ditahan selepas menyertai parti liar di sebuah unit kondominium di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan jam 1.10 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai daripada Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi, dan Maksiat) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Katanya, enam daripada yang suspek termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 47 tahun itu positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

“Hubungan antara semua suspek adalah rakan. Masing-masing dua adalah kakitangan kerajaan, bekerja sendiri, dan penganggur manakala selebihnya kakitangan swasta.

“Kondominium itu disewa seorang daripada suspek yang ditangkap. Namun, tiada dadah ditemui ketika serbuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, enam suspek yang positif dadah itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kesemua mereka juga dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM18,000 mengikut Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB).

Sumber: Harian Metro