Dua pencuri tabung masjid, surau ditahan polis

Dua pencuri tabung masjid, surau ditahan polis

 

Dua lelaki yang giat melakukan kegiatan mencuri wang tabung masjid, surau dan premis perniagaan di sekitar daerah Perak Tengah berjaya ditahan polis.

Dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine itu ditahan di lokasi berasingan pada Khamis dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superitendan Barudin Wariso berkata, kedua-duanya yang juga penganggur itu melakukan kegiatan berkenaan secara berasingan dan sendirian.

“Remaja pertama berusia 19 tahun melakukan perbuatan berkenaan di enam buah masjid, sebuah sirau serta empat premis perniagaan di Seri Iskandar, Bota dan Kampung Gajah.

“Dia juga mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Seorang lagi lelaki berusia 24 tahun pula terlibat dalam mencuri wang tabung di lima masjid dan sebuah surau di sekitar Bota dan Seri Iskandar. Dia mempunyai 10 rekod kesalahan membabitkan kes samun dan dadah.

“Polis akan memohon perintah sambung reman terhadap kedua-dua lelaki itu, hari ini susulan reman mereka tamat semalam bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Kosmo