Dua pelajar sekolah antara lapan ditahan sertai ‘private party’

Dua pelajar sekolah antara lapan ditahan sertai ‘private party’

Keseronokan lapan individu termasuk dua pelajar sekolah dipercayai melakukan ‘parti dadah’ di sebuah unit kondominium di Seksyen 7 di sini, berakhir apabila diserbu hari ini.

Dalam serbuan pukul 1 pagi hasil aduan orang awam itu menahan kesemua suspek berusia 15 hingga 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sewaktu serbuan dilakukan mereka didapati berada dalam khayal disyaki di bawah pengaruh dadah dan keletihan.

Katanya, siasatan mendapati parti itu dijangka selesai pukul 2 pagi tadi selepas dimulakan pukul 6.30 petang semalam.

“Berdasarkan siasatan mendapati mereka menyewa unit tersebut pada harga RM130 bagi satu malam dengan semua suspek mengenali antara satu sama lain.

“Dua remaja perempuan yang ditahan masih menuntut di tingkatan 3 salah sebuah sebuah sekolh menengah di Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, hasil ujian air kencing mendapati tujuh daripada suspek positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo.

Ujar Baharudin, bagaimanapun semakan menunjukkan kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Kesemua suspek telah dikompaun sebanyak RM4,000 seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Penyakit Berjangkit.

“Tujuh daripada suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Sumber: Kosmo