Dua pekerja hampir lemas selepas terperangkap dalam kebakaran
Dua pekerja lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran di sebuah premis pakaian di sebuah pusat beli-belah di Bandar Meru Raya di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Shahrudi Muhamad Halil berkata, pihaknya segera mengerahkan anggotanya dengan bantuan BBP Ipoh dan Sungai Siput ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 2.09 petang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami meminta pihak pengurusan untuk mengosongkan bangunan dengan mengarahkan semua pengunjung dan kakitangan keluar bagi menyelamatkan diri.
“Pasukan bomba segera memotong pintu kedai yang terkunci menggunakan peralatan khas dan menyerahkan kedua-dua mangsa berusia 18 tahun kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan kerana hampir lemas selepas terhidu asap,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shahrudi berkata, premis yang menyimpan stok pakaian baju kurung dan baju Melayu berkeluasan 25×20 kaki persegi itu mengalami kebakaran sebanyak 50 peratus dan operasi memadamkan api menggunakan sistem perenjis air tamat pada 2.58 petang.
Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang mencemaskan pengunjung di situ dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan. – HM