Dua lelaki warga Pakistan ditahan, samun & rogol jurujual di jejantas KTM

Dua lelaki warga Pakistan ditahan, samun & rogol jurujual di jejantas KTM

Seorang lelaki berusia 23 tahun, warga Pakistan, telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol yang berlaku pada Ahad lalu.

Suspek ditangkap di sebuah kondominium di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan pada jam 8.30 malam kelmarin, selepas kamera litar tertutup (CCTV) merakam aksinya melarikan diri setelah melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun yang mendakwa telah dirogol dan disamun oleh seorang lelaki di jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang.

Ketika kejadian, mangsa yang baru seminggu bekerja sebagai promoter sambilan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya, dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Dagang, Sungai Besi, jam 12.40 tengah malam.

Dia mendakwa dihampiri oleh lelaki tidak dikenali diacukan pisau, dirogol dan telefon bimbitnya disamun.

Siasatan mendapati, suspek turut membawa pin bagi membuang kad sim dan set semula (reset) telefon bimbit tersebut.

Selain itu, polis juga menahan seorang lagi rakan suspek berusia 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam satu lagi kejadian samun pada 30 Disember lalu yang menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian dua telefon bimbit dan mengalami kecederaan di jari kanan.

Kedua-dua suspek tidak bekerja dan semakan mendapati suspek pertama masuk ke negara ini sejak Ogos tahun lalu sementara suspek kedua sudah enam bulan berada di negara ini.

Suspek mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) )c) Akta Imigresen 1959/63.

Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan.