Dua lelaki bawa parang ditahan cuba ceroboh Istana Negara, dakwa mahu jumpa Agong

Dua lelaki bawa parang ditahan cuba ceroboh Istana Negara, dakwa mahu jumpa Agong

 

Polis menahan dua lelaki yang disyaki cuba menceroboh Istana Negara di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kedua-dua suspek yang menaiki sebuah PERODUA Kembara pada mula cuba memasuki Istana Negara melalui Pintu 3, kira-kira jam 4.40 petang.

Katanya, anggota polis yang berkawal di pintu masuk menahan kenderaan dinaiki suspek dan suspek memaklumkan mereka mahu berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Anggota polis di lokasi kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka dan menjumpai sebilah parang dalam kenderaan terbabit.

“Berikutan itu, kedua-dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun yang menaiki kenderaan itu ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua susek yang ditahan, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan dan penghantar makanan.

Katanya, keputusan ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.

“Kedua-duanya kini direman empat hari bermula hari ini sehingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya.

Rusdi berkata, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti berkaitan kejadian ini.

Sementara itu, susulan kejadian terbaharu itu, Pasukan Keselamatan Istana Negara kini mengambil beberapa langkah mempertingkatkan kawalan keselamatan keluar masuk ke istana.

Antara langkah itu termasuk menghidupkan penghadang kenderaan menggunakan Sistem Bollard sepanjang masa, selain pemeriksaan terhadap semua kakitangan dan tetamu yang masuk serta memperketatkan penggunaan pas di pintu masuk.