Dua kilang tiada surat MITI diarah tutup operasi

Dua kilang tiada surat MITI diarah tutup operasi

Dua kilang di Bidor diarah tutup selepas didapati beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kilang konkrit dan kilang simen itu turut melanggar peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Ini kerana jenis operasi kilang itu tidak termasuk dalam sektor yang dibenarkan dibuka sepanjang sekatan pergerakan penuh.

“Kedua-dua kilang masing-masing dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP PKP 3.0 manakala kompaun RM1,500 turut dikeluarkan pada dua pekerja kilang kerana gagal mengimbas MySejahtera,” katanya selepas melakukan pemantauan pematuhan SOP PKP di Kawasan Perindustrian Bidor di sini hari ini.

Menurut Wan Azharuddin, sebanyak 10 kilang telah diperiksa dalam operasi bersepadu yang turut disertai MKN, MITI, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang, Majlis Daerah Tapah dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk gagal menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dan gagal memastikan pekerja mengimbas MySejahtera.

Sumber: Kosmo