Dua kali bergelar juara dunia, Kento Momota umum ‘gantung raket’ dalam keadaan suram

Dua kali bergelar juara dunia, Kento Momota umum ‘gantung raket’ dalam keadaan suram

 

Pengakhiran suram buat juara dunia dua kali, Kento Momota apabila tidak berpeluang memasuki gelanggang buat kali terakhir sebelum ‘menggantung raket’ secara rasminya, hari ini.

Pemain berusia 29 tahun itu hanya mampu memerhati sambil menunggu giliran untuk diturunkan selaku perseorangan ketiga, namun hasrat itu terkubur apabila Malaysia melakar kemenangan 3-1 ke atas Jepun selepas beregu kedua negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyumbang mata terakhir di suku akhir, semalam.

Walaupun tewas, Momota tetap memuji kesungguhan dipamerkan rakan sepasukannya sepanjang kejohanan Piala Thomas yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China itu.

Mengulas mengenai kekalahan semalam, Momota mengakui beliau terlalu banyak berfikir, sehingga jurulatihnya Park Joo Bong terpaksa mententeramkan keadaannya.

“Jepun telah lakukan yang terbaik dan saya sangat berterima kasih kepada mereka. Jurulatih Park mententeramkan saya kerana saya kecewa tidak dapat bermain semalam,” katanya pada sidang media hari ini.

Momota sebelum ini berhasrat untuk menjulang Piala Thomas sekali lagi selepas melakukannya pada edisi 2014 dengan mengalahkan Malaysia 3-2.

Bekas juara dua kali Kejohanan Badminton Asia (BAC) itu berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian cemerlangnya dan bangga setiap kali mencium bendera Jepun pada jersinya setiap kali memperoleh kemenangan.

Mengimbau pertarungannya dengan barisan pemain terbaik, Momota mengakui sangat seronok bersaing dengan mereka dan berterima kasih kepada peminat di seluruh dunia atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya selama ini.

Keputusan untuk bersara daripada pentas antarabangsa dilakukan selepas bergelut dalam situasi mencabar selepas mengalami kemalangan di Lebuhraya Maju di Malaysia pada awal 2020.

Walaupun mengikuti latihan fizikal yang ketat selepas kemalangan, beliau mendapati sukar untuk kembali kepada tahap terbaiknya.

Semasa kegemilangannya, Momota meraih 11 kejuaraan pada 2019 termasuk juara dunia di Basel, Switzerland.

Beliau turut mendapat pengiktirafan daripada Guiness World Records selaku pemain perseorangan lelaki terbanyak memenangi gelaran musim itu.

Walaupun telah bersara di pentas kompetitif, bekas nombor satu dunia itu tetap aktif bermain badminton dalam kejohanan tempatan, bertujuan memberi inspirasi kepada pemain muda untuk mengikuti jejaknya satu hari nanti.