“Dua-dua panas baran” – Tular video Honda City & Proton Waja saling berhimpit hingga kemalangan

“Dua-dua panas baran” – Tular video Honda City & Proton Waja saling berhimpit hingga kemalangan

 

Tak dapat dinafikan, ada segelintir pengguna jalan raya yang melebihkan ego dan amarah berbanding keselamatan diri sendiri dan pengguna yang lain.

Tular satu video dashcam di X, menunjukkan dua buah kereta yang dipandu secara berbahaya dan akhirnya menyebabkan kemalangan.

Dapat dilihat dalam video tersebut, sebuah kereta jenis Proton Waja sedang berada di lorong kiri namun disebabkan ada sebuah lori yang dibawa perlahan, kereta itu terus menukar lorong kanan secara tiba-tiba dan lambat memberikan lampu isyarat.

Disebabkan itu, sebuah kereta Honda yang dipandu laju di lorong kanan terpaksa menekan brek dan hampir terlanggar kereta Waja tersebut.

Mungkin pemandu Honda itu berang, lalu dia mula mengekori secara rapat sambil menukar-nukar lorong sebagai tanda provokasi. Tidak lama selepas itu, kereta Waja tersebut mula menghimpit dan melanggar bahagian tepi kereta Honda itu.

Malang tidak berbau, kereta Honda tersebut pula telah melanggar bahagian tepi kereta Waja itu beberapa kali sehingga kereta jenama tempatan itu mula hilang kawalan, terbabas lalu terbalik di tepi jalan.

Dalam pada itu, pemilik dashcam tersebut juga telah berhenti di tepi jalan untuk memberikan bantuan kepada pemandu Waja namun mereka sempat memarahi pemandu kereta Honda kerana telah menyebabkan kemalangan.

Setakat artikel ini ditulis, belum ada maklumat terperinci daripada pihak berkuasa berhubung kemalangan yang berlaku.

Bagaimanapun, video dashcam berdurasi kurang dua minit itu telah mendapat pelbagai reaksi netizen. Ramai antara mereka kesal dengan kedua-dua pemandu yang tidak boleh bertolak ansur dan mengalah ketika memandu.

Kereta 1 Kereta 2

Seram tengok masing-masing berhimpit..