Dua buah kereta kemalangan akibat hentikan trafik demi VVIP

Dua buah kereta kemalangan akibat hentikan trafik demi VVIP

 

Sebelum ini tular video memaparkan ambulan terpaksa berhenti demi beri laluan kepada VVIP. Kini, sekali lagi muncul isu menghentikan trafik untuk melancarkan perjalanan VVIP.

Menerusi video yang tular, dapat dilihat pihak polis menghentikan trafik untuk memberi laluan kepada VVIP lalu mengakibatkan dua buah kereta kemalangan iaitu kereta Wira dan kereta Kelisa.

Kemalangan tersebut berlaku apabila kereta Wira berhenti mengejut selepas anggota polis memberikan isyarat untuk berhenti dan kereta Kelisa yang berada di belakang kereta Wira berkemungkinan tidak sempat untuk menekan brek lalu melanggar kereta Wira itu.

Kemudian, konvoi VVIP dilihat melalui jalan tersebut ketika kemalangan tersebut berlaku. Kejadian ini dipercayai berlaku di Kuching, Sarawak dan video kemalangan ini menjadi bualan netizen.

Rata-rata netizen mengecam tindakan pihak polis yang memberikan laluan kepada VVIP sehingga berlakunya kemalangan. Malah, para netizen turut menzahirkan rasa bengang apabila para konvoi VVIP itu hanya berlalu pergi ketika kemalangan berlaku dan tidak menghulurkan bantuan.

Bukan itu sahaja, netizen turut kecewa kerana perkara ini terjadi semata-mata untuk melancarkan laluan VVIP. Walau bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berhubung kejadian ini.