Dua beradik didakwa beri keterangan bercanggah kes rasuah bekas setiausaha politik Mat Sabu

Dua beradik didakwa beri keterangan bercanggah kes rasuah bekas setiausaha politik Mat Sabu

 

Dua beradik yang juga saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Mohamad Sabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan bercanggah ketika soal siasat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 54, dan adiknya, Zainudin Abdul Majid, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Ahmad Hisham yang juga bekas pengarah sebuah syarikat didakwa atas empat pertuduhan memberikan keterangan pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023.

Keterangan itu tidak selaras dengan pernyataan yang diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penolong Kanan Penguasa Shamsudin Md Noh di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dekat sini pada 2 November 2022.

Sementara itu, Zainudin pula didakwa atas lima pertuduhan melakukan kesalahan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sama pada 21 Mac dan 7 April 2023, yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 4 November 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman denda yang boleh sampai RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali ke pejabat SPRM terdekat sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guam kini tidak bekerja dan menjaga ibu mereka yang lumpuh selain kesalahan yang dilakukan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pihak ketiga.

Mahkamah membenarkan Zainudin dan Ahmad Hisham masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 26 Feb ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Mohd Azhar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azhar didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Kementerian Pertahanan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru pada 22 Julai 2019.

Bagi empat lagi pertuduhan, bekas Setiausaha Politik Mat Sabu itu didakwa menerima suapan RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.