Dua beradik cemas diserang lelaki berparang di kebun durian

Dua beradik cemas diserang lelaki berparang di kebun durian

Dua beradik berdepan detik cemas apabila diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kebun durian di Bukit Balai Raja dekat Batu Kurau kelmarin.

Kejadian pada pukul 6.20 petang itu berlaku ketika dua beradik berusia 20 dan 19 tahun itu mahu pulang ke rumah setelah selesai menebas di kebun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dua lelaki itu telah didatangi suspek berusia 41 tahun dalam keadaan marah sambil memegang sebilah parang sepanjang 40 sentimeter.

Katanya, suspek yang juga bekerja di kebun durian berhampiran menuduh mangsa berusia 20 tahun itu membuat sesuatu seperti menghantar ‘benda’ tidak baik kepadanya.

“Mangsa dan adik lelakinya yang cemas melihat suspek telah melarikan diri dan tertinggal dua buah telefon bimbit yang diletakkan dalam raga dua buah motosikal.

“Ketika melarikan diri, mangsa sempat melihat suspek memecahkan kedua-dua motosikal mereka yang dipinjamkan majikan,” katanya di sini hari ini.

Sumber: Kosmo