Dua anggota Maritim Malaysia cedera, kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak

Dua anggota Maritim Malaysia cedera, kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak

 

Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera selepas kejadian berbalas tembakan di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi Kunak, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira ja. 8.40 pagi itu, empat lagi anggota yang bertugas bersama mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, Ketua Bot Banggi 48, berusia 45 tahun cedera di mata dan seorang lagi anggota berusia 35 tahun cedera di kedua-dua belah tangan.

Katanya, berdasarkan laporan awal, insiden berlaku apabila pasukan bot ronda Maritim Malaysia cuba menahan sebuah bot enjin sangkut untuk pemeriksaan Op Khas Pagar Laut.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dihampiri, tiga suspek yang berada di atas bot berkenaan tiba-tiba melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48.

“Kumpulan suspek terbabit dipercayai bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada diperiksa anggota bot peronda Maritim Malaysia.

“Pasukan operasi turut melepaskan tembakan balas namun kumpulan terbabit berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr. Suzanna berkata, susulan daripada insiden berkenaan, Maritim Malaysia sudah mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim ke lokasi kejadian.

“Pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) turut ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.

“Kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera sudah dihantar ke Hospital Kunak bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.