Dua adik beradik ditahan kes bunuh bapa mentua

Dua adik beradik ditahan kes bunuh bapa mentua

Dua beradik ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kes bunuh bapa mentua selepas berlaku pergaduhan di Felda Mempaga 3, Lurah Bilut, di sini, 2.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dua suspek berusia 26 dan 34 tahun itu dipercayai terbabit dalam kejadian menyebabkan seorang peneroka berusia 59 tahun dibunuh.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati kejadian berpunca akibat pertengkaran di antara mangsa dengan menantunya serta adiknya.

“Adik kepada menantu mangsa yang berada di tempat kejadian menjadi berang dan menendang mangsa di bahagian kiri dadanya.

“Selepas itu, mangsa mengadu sakit di bahagian dada dan muntah beberapa kali sebelum rebah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, anak perempuan mangsa menghubungi Klinik Kesihatan (KK) berhampiran dan pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Menurutnya, kedua-dua suspek melarikan diri selepas kejadian sebelum pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Bentong menjalankan operasi mengesan suspek.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan pada 10.30 pagi hari ini berhampiran sebuah pondok di Empangan Lembah Klau, Raub.

“Kedua-dua suspek adalah adik beradik yang bekerja sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis heroin dan methapethamine serta mempunyai rekod jenayah dadah lampau,” katanya.

Zaiham berkata, punca kematian mangsa belum dapat dikenal pasti dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, polis berterima kasih kepada orang ramai yang turut membantu memberikan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan. – HM