Donald Trump jadi Presiden Amerika Syarikat, ini saham-saham yang dijangka meningkat
Donald Trump jadi Presiden Amerika Syarikat, ini saham-saham yang dijangka meningkat.
Bursa Malaysia pada minggu depan akan menyaksikan berlaku trend ‘perdagangan Trump’, sebagai tindak balas terhadap kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis pasaran, Datuk Dr Nazri Khan, berkata perdagangan Trump atau ‘Trump trade’ merujuk kepada strategi atau tindakan dagangan yang berkaitan dengan dasar ekonomi dan perdagangan yang diperkenalkan oleh Trump.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Pelaburan Berjaya Mutual Bhd berkata, ia merangkumi langkah seperti tarif perdagangan, sekatan ke atas negara tertentu, serta dasar ‘America First’ yang menekankan kepentingan industri dalam negara.
Katanya, dalam konteks pelaburan pasaran, ‘Trump trade’ merujuk kepada respons pasaran terhadap dasar itu, seperti peningkatan harga saham dalam sektor tertentu yang dijangka mendapat manfaat daripada dasar Trump.
Sehubungan itu, menurutnya sektor yang mendapat manfaat adalah seperti perkhidmatan kewangan, hartanah, teknologi dan perhotelan.
“Indeks yang kurang mendapat penampan daripada kemenangan Trump adalah tenaga boleh diperbaharui dan hijau. Ini kerana Trump bukanlah penyokong kepada industri hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
“Ia sekali gus turut akan menyaksikan kebangkitan kaunter yang terbabit tenaga tradisional seperti minyak dan gas pada minggu depan. Trump juga berjanji untuk menjadikan AS sebagai ibu kota kripto dengan menghentikan peraturan dan menjadi lebih terbuka kepada inovasi.
“Justeru, saham berkaitan kripto, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain akan mendapat sokongan,” katanya kepada BH.
Nazri Khan berkata, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus mencatatkan aliran meningkat minggu depan, meneruskan momentum positif yang dilihat pada minggu ini apabila ia diniagakan dalam julat 1,635 hingga 1,645 mata.
Beliau berkata, selain dasar tarif dan ‘America First’ yang diperkenalkan Trump, beliau juga dikenali sebagai seorang yang sangat pro kepada perniagaan.
“Ini bermakna, ada beberapa sektor akan mendapat manfaat dan mampu membawa Bursa Malaysia terus melonjak naik mencapai 1,650 hingga 1,700 mata,” katanya.
Beberapa laporan sebelum ini menyatakan kemenangan Trump akan membawa perubahan besar kepada ekonomi global.
Trump menjanjikan tarif sebanyak 10 peratus atau 20 peratus ke atas semua barangan yang diimport ke AS dan tarif yang lebih tinggi sebanyak 60 peratus ke atas barangan buatan China.
Pada masa yang sama, beliau juga berjanji untuk membangunkan semula industri pembuatan, mengurangkan cukai, dan menghantar pulang berjuta-juta pendatang tanpa izin.
Dasar Trump akan memberi kesan besar kepada ekonomi AS serta seluruh dunia.
Pasaran saham di Asia, yang pertama dibuka selepas pilihan raya, menunjukkan reaksi bercampur-campur terhadap kemenangan Trump.
Nikkei Jepun dan S&P/ASX 200 Australia meningkat sementara Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh.
Saham China tidak banyak bergerak dan pasaran Eropah tidak menentu setakat ini.
Pasaran AS mengalu-alukan kemenangan Trump dengan keyakinan dan kebimbangan dengan S&P 500 melonjak 2.4 peratus, Dow Jones naik 3.4 peratus dan Nasdaq Composite melonjak 2.7 peratus.
Indeks FBM KLCI pula menambah 17.26 mata kepada 1,621.24 daripada 1,603.98 pada minggu sebelumnya.