Dituduh sebagai ejen Bersatu, Sir Azri tetap setia dengan Umno

Dituduh sebagai ejen Bersatu, Sir Azri tetap setia dengan Umno

 

“SAYA tetap setia kepada Umno walaupun digantung keahlian selama enam tahun,” kata Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Beliau lebih dikenali sebagai Papagomo, berkata penggantungan itu juga tidak menghalang matlamatnya untuk menyatupadukan bangsa demi kestabilan negara.

“Perjuangan saya untuk menyatupadukan bangsa untuk Pilihan Raya Ke15 (PRU15). Lagipun kemelut politik sampai bila pun tak akan selesai.

“Jadi yang penting sedarkan anak muda apa itu kuasa politik dalam masa sama sedarkan mereka yang berada dalam parti politik ini untuk mengetahui bahawa rakyat tidak bersalah.

“Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa seperti mana yang berlaku hari ini dengan kemelut politik tidak berkesudahan,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Sehubungan itu, Wan Muhammad Azri berkata, walau apa yang terjadi, kesetiaan beliau terhadap Umno tidak tergugat.

“Saya tetap setia dengan Umno kerana Umno ini milik orang Melayu. Umno ini wardah perjuangan di mana orang Melayu yang tubuhkan. Saya takkan pergi mana-mana parti lain, kerana akar parti itu juga daripada Umno.

“Bagi saya bukan jawatan yang dikejar tapi matlamat untuk memastikan negara ini tidak jatuh ke tangan yang salah. Jadi, kerana itu juga saya dituduh sebagai pengkhianat, ejen Bersatu, tapi saya bercakap benda yang jelas.

“Hari ini kerajaan ditubuhkan hasil sokongan daripada semua bukan Umno sahaja. Kalau tolak Bersatu, kini mereka kerajaaan dengan Umno. Rakyat tak peduli pun tentang perkara ini, yang mereka mahukan penyelesaian isu Covid-19 dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya parti-parti Melayu perlu duduk berbincang untuk mencari titik persamaan bukan untuk kepentingan diri tetapi demi rakyat.

“Namun, apa yang saya nampak kerakusan kuasa dan kepentingan diri,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak akan membuat rayuan ke atas penggantungan tersebut, kerana menyifatkan tindakan itu adalah tidak adil terhadap dirinya kerana tidak diberi peluang membela diri dalam Lembaga Disiplin.

“Sepatutnya daripada segi konsep pun bukan saja keadilan Islam tapi keadilan sejagat pun (tidak dipertimbangkan).. sesuatu pertuduhan itu perlulah membela diri dulu sebelum jatuhkan hukuman.

“Saya pula tidak dipanggil membela diri dan terus dijatuhi hukuman. Tindakan itu ketidakadilan kepada saya. Dari awal lagi memang nak gantung keahlian saya.. tak ada gunalah saya merayu,” katanya.

Sementara itu, Wan Muhammad Azri berkata, perjuangan beliau di dalam Umno akan terus dibawa melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya iaitu Malaysia Bumiputera Brotherhood.

“Saya akan teruskan kempen menyatupadukan Bumiputera melangkaui politik, benda ini bukan baru kerana saya sudah bermula pada 2014.

“Matlamat kempen ini fokus untuk memastikan kestabilan negara bukan kepentingan individu atau parti sendiri serta untuk membuka mata anak bangsa berkenaan politik bagi membuat pemilihan yang bijaksana pada PRU-15,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Azri menyatakan penggantungan keahliannya daripada Umno kerana mengkritik tindakan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya ‘bermasalah’ dan membelakangkan parti.

Sebelum itu, sekumpulan ahli Umno Bahagian Wangsa Maju menyerahkan laporan salah laku Wan Muhammad Azri kepada Lembaga Disiplin.

Dalam laporan itu, beliau didakwa melanggar Perlembagaan Umno menggunakan Facebook miliknya sama ada dalam bentuk kenyataan bertulis mahupun rakaman video.

Hantaran itu antara lain didakwa cuba memujuk akar umbi dan pemimpin Umno untuk bersama dengan Bersatu sedangkan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 menolak kerjasama itu.

Sumber: Malaysiapost