Dituduh jual sotong frozen diperbuat dari dubur babi, syarikat ini jawab dakwaan

Dituduh jual sotong frozen diperbuat dari dubur babi, syarikat ini jawab dakwaan

 

Sebelum ini tular dakwaan berkaitan status halal satu produk makanan sejuk beku (frozen) dimana ada individu tidak bertanggungjawab mengatakan cincin sotong tersebut daripada dubur babi walaupun diiktiraf halal oleh JAKIM.

Difahamkan, khabar angin tidak benar itu telah tular di media sosial dan juga dikongsikan sebagai mesej berangkai, lalu mempengaruhi ramai orang terutama sekali golongan berusia yang mudah percaya berita seperti ini.

Lantaran itu, syarikat tersebut menafikan dakwaan itu dalam satu sidang media dan menegaskan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap netizen yang menyebarkan dakwaan tidak benar itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shen Hua Resources, Rodney Soon, pihaknya mendapati dua netizen menyebarkan khabar angin itu di Facebook untuk memburuk-burukkan produk cincin sotong keluaran syarikat induk mereka, Dayou Group di China.

Tambahnya, khabar angin itu menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat dan merosakkan imej serta menjejaskan jualan produk mereka lalu menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian besar.

Malah, laporan polis telah dilakukan berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap produk syarikat mereka. Bukan itu sahaja, cincin sotong itu disahkan oleh Shandong Halal Certification Services Sdn Bhd (SHC), yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai badan pensijilan halal asing di China.

Rodney turut meluahkan rasa kesal terhadap siasatan yang dilakukan JAKIM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap produk mereka kerana telah mengambil sampel untuk ujian, tetapi tidak mengeluarkan sebarang laporan mengenai hasil ujian menyebabkan syarikat mereka tidak dapat menafikan fitnah netizen.