Dituduh curi lapan barang, warga emas dapat ganti rugi RM13,040
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan sebuah pasar raya di Bukit Mertajam membayar ganti rugi dan kos RM13,040 kepada penyelia kilang yang dituduh mencuri dan ditahan penjaga stor empat tahun lalu.
Ram Kumar Raman, 61, telah menyaman Wonderful Super Mart Shop Sdn Bhd pada 2020 kerana penahanan salah. Saman itu ditolak oleh mahkamah rendah, tetapi dia membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Rozana Ali Yusoff yang membenarkan rayuan itu memerintahkan Wonderful membayar pampasan RM10,000 sebagai ganti rugi am, RM3,000 untuk kecederaan tisu lembut (soft tissue injury), dan RM40 sebagai ganti rugi khas.
Syarikat itu juga diperintahkan membayar faedah tahunan 5% daripada jumlah keseluruhan mulai 9 Nov 2020, iaitu tarikh saman itu difailkan. Rozana turut menganugerahkan kos RM3,000.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ram berkata dia pergi membeli-belah runcit di pasar raya itu kira-kira petang pada 4 April 2020, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separa pada kemuncak pandemik Covid-19.
Dia membawa beg plastik terpakai dengan pelekat “berbayar” yang koyak daripada pembeliannya sebelumnya di pasar raya sama dan mahu menggunakannya untuk pembeliannya pada hari itu. Dia memberitahu mahkamah bahawa dia telah memutuskan untuk menggunakan semula beg itu kerana takut dijangkiti Covid-19.
Semasa mengambil barang dari lorong dan meletakkannya di dalam beg, penyelia kedai Tan Lean Choo, 61, datang kepada Ram dan menuduhnya mencuri.
Walaupun Ram menafikan dakwaan itu dan mengatakan dia masih belum selesai membeli, Tan berkeras agar dia mengikutnya ke bahagian belakang kedai, kata Ram.
Lapan barang yang diletakkan Ram dalam beg itu bernilai RM29, menurut laporan polis yang dikemukakan di mahkamah. Ia termasuk sebungkus daun teh, kacang tanah, satu tin sardin, satu paket serbuk perasa dan tiga paket gula perang.
Di bahagian belakang kedai, Ram dibawa bertemu dua lelaki, yang kemudian dikenali sebagai anak dan abang Tan, yang juga pekerja pasar raya itu. Ram mendakwa salah seorang lelaki itu menumbuk mukanya.
Insiden itu berakhir selepas dua anggota polis tiba yang kemudian menasihatinya membuat laporan polis. Mereka juga menasihatkannya mendapatkan rawatan perubatan. Hospital Bukit Mertajam kemudian mendapati dia mengalami kecederaan tisu lembut di pipi kanannya akibat serangan itu.
Dalam pembelaannya, Wonderful berkata meletakkan barang tidak dibayar ke dalam beg peribadi adalah bertentangan dengan polisi kedai kerana pembeli dikehendaki meletakkan barang dalam bakul.
Menurut pasar raya itu, pekerja menahan Ram kerana cuba meninggalkan kedai dengan barangan yang tidak dibayar. Mereka juga menafikan peristiwa yang berlaku selepas itu termasuk dakwaan serangan.
Peguam K Simon Murali mewakili plaintif, manakala Calvin Ho mewakili Wonderful.
FMT telah menghubungi peguam Wonderful untuk mengesahkan sama ada mereka akan merayu keputusan itu.