Ditawar RM150 untuk ‘shooting’ empat hari, Hamidah Wahab luah rasa kecewa pelakon veteran dibayar rendah

Ditawar RM150 untuk ‘shooting’ empat hari, Hamidah Wahab luah rasa kecewa pelakon veteran dibayar rendah

 

Pelakon veteran, Hamidah Wahab mendedahkan dirinya sudah tidak lagi menerima tawaran untuk berlakon dalam mana-mana drama mahupun program televisyen selama hampir 10 tahun lamanya.

Memetik laporan Harian Metro, Hamidah mengakui sedikit buntu dan mencari apakah silapnya sehinggakan tidak lagi menerima sebarang tawaran lakonan selepas hampir setiap tahun mendapat tawaran sejak dari tahun 1974.

Sekarang sudah 10 tahun tak dapat tawaran. Itu yang jadi tanda soal besar. Saya tertanya-tanya adakah kami terlalu sangat lama, orang sudah jemukah, tak tahu nak cakap.

Kenapa jadi begitu? Adakah prestasi lakonan saya kurang, pelakon-pelakon baharu naik, mungkin pasal bayaran.

Pada mereka mungkin lebih baik ambil pelakon tambahan untuk watak mak-mak supaya bayaran sedikit.

Ada beberapa pelakon lama yang masih ada seperti Datuk Fauziah Nawi dan Wan Maimunah turut mengadu perkara sama.

Tapi saya nampak mereka ada juga tawaran berlakon lagi. Untuk saya, terus senyap.

Tambah pelakon yang popular dengan drama bersiri ‘Tanah Kubur’ ini, dia ada menerima tawaran untuk berlakon namun bayaran yang ditawarkan sangat tidak setimpal.

Saya paling terkilan apabila ada pihak yang tawar-menawar terlalu murah nak bayar RM150 untuk penggambaran empat hari.

Bukan tak nak ambil, saya minta juga naikkan sedikit, janganlah sampai begitu. Saya memang senyapkan saja kerana memang tak berbaloi. Tidak setimpal dengan modal pengalaman dan cara kerja yang saya ada.

Sedihlah bukan saya seorang, saya bercakap bagi pihak artis-artis lama secara keseluruhan. Tolonglah hargai kami.

Walau bagaimanapun, Hamidah mendedahkan dia tetap bersyukur kerana masih mempunyai sumber pendapatan lain dengan bekerja bersama sebuah syarikat yang menguruskan jemaah ke Makkah.

Saya memang ada alternatif lain. Selain berlakon, ada juga kerja sampingan saya buat. Saya luangkan masa pergi balik ke Makkah. Tak adalah susah sangat, terlebih fikir tiada tawaran lakonan.

Tak bolehlah bila tak berlakon, nak lepak tidur saja kat rumah, sangat ‘down’. Oh tidak, itu bukan cara saya.

Walaupun tak ada tawaran, saya tetap akan buat sesuatu kerja yang boleh cergaskan otak.