Disyaki terlibat skim penipuan pelaburan Forex aktif sejak 2018, lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ antara 10 ditahan

Disyaki terlibat skim penipuan pelaburan Forex aktif sejak 2018, lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ antara 10 ditahan

 

Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Forex GCG Asia, selepas menahan 10 individu termasuk dalang utama bergelar Datuk, dalam serbuan di sekitar ibu negara, Perak, Selangor, Melaka dan Johor, pada Sabtu lalu.

Dalang utama berusia 40 tahun dan mempunyai kelulusan ijazah sarjana pentadbiran perniagaan, manakala sembilan suspek lain termasuk seorang wanita berusia antara 29 hingga 64 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata hasil serbuan, pihaknya merampas sembilan kereta mewah membabitkan dua Toyota Vellfire dan masing-masing sebuah Mercedes Benz C200, Lamborghini, Porsche Taycan 4S, BMW X3, Toyota Aplhard, Volkswagen Jetta dan Bentley dengan nilai keseluruhan RM4.6 juta.

Turut dirampas pelbagai barangan termasuk 64 jam tangan pelbagai jenama bernilai RM98.9 juta, lima jongkong emas seberat lima kilogram (kg) (RM1.45 juta), satu kad persatuan bekas polis, mata wang kripto berjumlah RM21.4 juta serta wang tunai berjumlah RM100,800.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM126.9 juta. Siasatan mendapati dalang itu bergelar Datuk, namun menggunakan gelaran Datuk Seri untuk menjalankan operasi sindiket itu. Kita juga sedang mendapatkan pengesahan sama ada suspek pernah berkhidmat sebagai anggota polis, susulan rampasan kad persatuan berkenaan.

“Siasatan lanjut juga mendapati mereka yang ditahan berperanan broker, agen pencari pelabur, pengurus kewangan dan pemilik akaun.

“Sindiket yang aktif sejak 2018 menyasar warga tempatan dan mempromosi pelaburan itu dengan kadar pulangan secara mingguan di antara 12 hingga 14 peratus dari jumlah modal dilaburkan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, pelabur akan diberi pautan web pelaburan bersama kata laluan dan dapat melihat jumlah keuntungan diterima setelah mendaftar masuk laman web berkenaan.

Bagaimanapun, keuntungan itu tidak dapat dipindah atau ditunaikan.

“Sindiket seterusnya memutuskan hubungan komunikasi dengan pelabur setelah mendapat jumlah pelaburan besar dan memberhentikan operasi skim pelaburan secara tiba-tiba.

“Pelabur yang tidak berpuas hati akan merasa diperdaya kerana tidak mendapat pulangan keuntungan dijanjikan. Setakat ini, 23 kes sedang disiasat berkaitan kegiatan ini membabitkan kerugian RM2.94 juta.

“Kerugian paling besar untuk satu kes ialah RM748,000 manakala modal untuk masuk pelaburan itu minimum 100 dolar Amerika Syarikat (AS) atau RM420,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin berkata, empat suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan penipuan.

“Sembilan suspek direman hingga hari ini, manakala reman lagi seorang tamat semalam. Kita akan sambung tempoh reman mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.

Kredit: Bernama
Kredit: Bernama
Kredit: Bernama
Kredit: Bernama
Kredit: Bernama